Aku copypaste dari blogger ini (Saudara Mohammad Azhan). Aku menggunakan khidmat google untuk mencari siapa sebenarnya Dr Mohamed Mursi, President Mesir yang baru yang berjaya membuat rundingan gencatan senjata antara Palestin & Israel. Dalam blog saudara Azhan nih ada menceritakan siapa Dr Mursi dan juga beberapa cerita mengenai Palestin termasuk la sejarah dari awal kemunculan Islam sehingga hari ini. MasyaAllah!
Aku kagum dengan penulisan sejarah beliau dan aku ingin share dengan korang semua. Sebab baru aku nampak dan paham sejarah mengenai Palestin & Israel dan siapa dalang2 dan kroni2 mereka. Dulu aku suka subjek sejarah masa sekolah. Dan dapat score A1 masa SPM..kekeke..tapi bila dah umur 30 tahun nih banyakkan yang aku belajar dulu dah lupa..lupa habis! parah! :P
Meh korang, kite mengimbau sejarah dunia balik..nanti satu hari nanti anak-anak kita sure akan tanya kita mengenai kisah ini..So dapat la kita cerita dengan mereka atau kite tunjuk aje entry ini kat dorang..kekekek, suruh dorang sendiri yang baca pulak :P tak susah2 kita nak hafal ek? hehe
Credit to saudara mohamad azhan :) terima kasih
Pengenalan
Allah s.w.t telah berfirman tentang Masjidilaqsa iaitu: “Yang Kami berkati sekelilingnya.” Apa yang dimaksudkan dengan sekelilingnya ialah bandar Al-Quds (Baitulmuqaddis).
Bandar Al-Quds terletak di garisan bujur 35 darjah dan di garisan lintang 31 darjah.Bandar Al-Quds adalah merupakan bandar yang tertua di dunia, di mana ia telah dibangunkan pada tahun 3000 Sebelum Masihi.
Di dalam bandar ini terdapat Masjidilaqsa yang juga termasuk di antara masjid yang tertua di dunia selepas Masjidilharam. Imam Bukhari dan perawi-perawi yang lain telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: Nabi s.a.w ditanya: Masjid yang manakah pertama kali dibina di atas muka bumi? Lalu baginda bersabda: Masjidilharam. Selepas itu baginda di tanya lagi: Selepas itu? Baginda bersabda: Masjidilaqsa. Kemudian baginda ditanya: Berapakah jarak tempoh pembinaan di antara keduanya? Baginda menjawab: 40 tahun.
“Solat di Masjidil Aqsa adalah sama nilai pahalanya dengan lima ratus kali solat di masjid-masjid yang lain kecuali di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.” (H.R Bukhari-Muslim).
Bumi dan tanah rahmat, bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau. Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Pembukaan Islam telah berjaya sampai ke bandar Al-Quds selepas kekalahan tentera Rom di dalam peperangan Yarmuk menjadikan jalan ke Baitulmuqaddis terbuka luas. Lalu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah r.a meminta supaya Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a datang ke bandar Al-Quds kerana penduduk bandar Al-Quds tidak mahu menyerah kecuali selepas kehadiran Khalifah umat Islam untuk menerima penyerahan bandar tersebut.
Lantas Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a pergi ke Baitulmuqaddis pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi serta memberi jaminan keamanan kepada penduduk di sana serta berjanji untuk menjamin keselamatan jiwa, harta dan tempat-tempat ibadat mereka serta tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk tinggal bersama mereka di bandar Al-Quds.
Khalifah Umar bin Al-Khattab telah memberi kebebasan beragama kepada penduduk di bandar Al-Quds secara membayar Jizyah. Beliau juga menolak permintaan salah seorang paderi untuk mendirikan sembahyang di dalam gereja Kristian supaya masyarakat tidak terikut-ikut untuk melakukan tindakan yang sama. Kemudian beliau pergi ke kawasan Masjidilaqsa lalu menyapu kotoran yang terdapat pada batu As-Sakhrah seterusnya beliau membina sebuah masjid di sudut sebelah selatan tempat tersebut.
Di dalam Islam Masjidilaqsa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi, di mana ia merupakan kiblat pertama bagi umat Islam dan Nabi s.a.w sendiri pernah mendirikan sembahyang sebanyak 17 bulan secara menghadap ke arah Masjidilaqsa, kemudian baginda menukar arah kiblat ke Masjidilharam setelah diturunkan perintah oleh Allah supaya baginda berbuat demikian.
Dari masjid inilah juga Rasulullah s.a.w dimikrajkan ke langit selepas baginda diisra’kan dari Masjidilharam ke Masjdilaqsa selama satu malam dan mendirikan sembahyang bersama seluruh para nabi-nabi sebelum baginda melakukan perjalanan Mikraj ke langit.
Pada setiap masa dan zaman para pemimpin dan khalifah umat Islam kelihatan sentiasa memberikan perhatian yang tinggi terhadap bandar Al-Quds yang penuh dengan keberkatan ini. Contohnya pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah, Abdul Malik bin Marwan telah membina Kubah As-Sakhrah pada tahun 72 Hijrah bersamaan 691 Masihi dan selang beberapa tahun selepas itu Al-Walid bin Abdul Malik telah membina kembali Masjidilaqsa.
Tidak ketinggalan juga pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiah, di mana mereka turut memberi perhatian kepada bandar Al-Quds sehinggalah pemerintahan Islam menjadi lemah dan Masjidilaqsa dikuasai oleh tentera Salib selama hampir 100 tahun kemudian dibebaskan kembali oleh pahlawan Islam yang agung iaitu Salahuddin Al-Ayubi rahimahullah.
Setelah itu Al-Quds mendapat perhatian penuh pada zaman pemerintahan kerajaan Othmaniah dan terus berada dalam keadaan aman sehinggalah berlaku kelemahan di dalam pemerintahan Kerajaan Othmaniah yang diakhiri dengan kejatuhan Khalifah Islamiah menyebabkan orang-orang Yahudi dapat masuk ke bandar Al-Quds dan Al-Quds masih lagi dijajah oleh Zionis Yahudi sehinggalah ke hari ini.
Sejarah Awal
Sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka. Kita tahu melalui al-Quran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.
Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan 'fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan. Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar.
Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan, "Hari ini, Perang Salib sudah berakhir".
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:
"Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?"
"Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!"
"Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!"
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin. Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki. Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu, "Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?"
Lord Curzon menjawab, "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam".
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan.
Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh. Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang
Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel.Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut.
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram. Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.
TARIKH dan PERISTIWA PENTNG
1882-1904 Gelombang pertama penghijrahan pendatang haram Yahudi dari Eropah ke Palestin
1897 Kongres Zionis pertama bertemu di Basel, Switzerland. Kongres tersebut dilancarkan untuk menempatkan lebih ramai Yahudi di bumi Palestin. Di dalam kongres yang sama, Organisasi Zionis sedunia (World Zionist Organization) ditubuhkan
1904-1914 Gelombang penghijrahan kedua pendatang haram Yahudi
1917 2 November Menteri Luar England, Lord Arthur James Balfour, mengutus surat (yang kemudiannya dikenali sebagai Deklarasi Balfour) kepada Lord Edmund de Rothschild bagi menyokong usaha penubuhan negara Yahudi di bumi Palestin
1918, 9 Disember Tentera British menjajah Palestin
1920, 24 April Persidangan San Remo telah memberi kuasa kepada England ke atas Palestin
1936-1939 Rakyat Palestin cuba bangkit bagi menentang penjajahan
1947, 29 November Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui Jawatankuasa Khas mengenai Palestin telah mencadangkan supaya negara Palestin dipecahkan menjadi dua negara, sebahagian bagi rakyat berketurunan Arab Palestin dan sebahagian lagi bagi pendatang haram Yahudi (Resolusi 181 perhimpunan agung PBB). Manakala Baitul Maqdis (atau Al-Quds atau Jerusalem) dan daerah di sekitarnya dijadikan kawasan antarabangsa, tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pihak Palestin
1948, 9 April Pasukan pengganas bawah tanah Yahudi yang dikenali sebagai kumpulan Irgun dan Stern Gang melakukan pembunuhan kejam ke atas 254 rakyat Palestin di perkampungan Deir Yassin berdekatan Baitul Maqdis
1948, 14 Mei Mandat England ke atas Palestin berakhir secara rasminya. Yahudi Zionis serta-merta mengishtiharkan penubuhan negara israel. Amerika Syarikat menawarkan hubungan diplomatik penuh bagi mengiktiraf negara haram israel
1949 Pada penghujung tahun 1948, Israel meluaskan penjajahannya ke atas 78% daripada tanah Palestin. Akibat dari rampasan tersebut 750,000 orang Palestin menjadi pelarian dan hidup dalam keadaan yang sangat daif. Sebelum tahun 1947, Yahudi hanya berjaya memiliki 7% tanah Palestin
1967, 5 Jun Israel melancarkan serangan ke atas beberapa negara Arab. Peperangan ini dikenali sebagai ‘Perang Enam Hari.’ Israel mendapat bantuan kewangan dan persenjataan dari Amerika Syarikat. Di dalam peperangan tersebut, Israel telah menawan Timur Baitul Maqdis, Tebing Barat dan Gaza. Akibatnya, 500,000 lagi warga Palestin dihalau dari kampug halaman mereka
LEBIH 6 JUTA RAKYAT PALESTIN TELAH MENJADI PELARIAN SEMENJAK TAHUN 1948!
Azhan: Sejauh mana kepedulian kita terhadap sahabat dan saudara mara kita di Gaza? Sekadar cukup melaungkan Anti-Zionis tanpa mengetahui sejarah kejam, zalim dan licik bangsa terkutuk ini? Moga sedikit perkongsian membuah rahmat dan semangat buat semua bahawa Islam sudah lama terjajah dalam diam umatnya masih ramai yang leka. Teruskan berdoa, bersedekah semampunya untuk sedikit senyuman di wajah mereka kerana isu Palestin bukan lagi sekadar konflik agama tetapi kisah kemanusiaan yang makin ranap di sana.
isu berkaitan:Memperingati Hari Nakba, 63 Tahun Palestin Dirampas!(Gambar Menarik)
sumber:kini2u, iluvislam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 idea?!:
Post a Comment